JENAYAH & MAHKAMAH

Polis terima tiga laporan berhubung penipuan pakej haji didakwa libatkan agamawan terkenal

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga laporan polis sudah dibuat berkaitan penipuan pakej haji didakwa didalangi ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, kesemua laporan itu dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia.

Jelas beliau, tiga laporan polis itu dibuat masing-masing dua di Mantin, Negeri Sembilan dan satu di Ayer Hitam, Johor.

“JSJK sedang meneliti perkara tersebut dengan serius, dengan siasatan merangkumi pelbagai elemen.

“Buat masa ini masih terlalu awal untuk menyatakan wujud unsur penipuan rentas sempadan.

“Keterangan dan bukti sedang dikumpul berkenaan kemungkinan sindiket terbabit bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memberitahu, pihak polis masih menunggu kepulangan semua mangsa untuk dirakam percakapan dan mengambil tindakan selanjutnya, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

“Pada masa ini, siasatan masih di peringkat awal untuk mengenal pasti individu atau agensi tempatan yang bertindak sebagai ejen pemudah atau pengantara dalam aktiviti tawaran haji ini.

“JSJK akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyenarai hitam syarikat yang menawarkan pakej tanpa kelulusan,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai sekumpulan 47 jemaah haji mendakwa ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

Kumpulan jemaah itu mendakwa, dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button