AMRENCANA

Raja Buah Kian Hilang Nilainya

MUSIM durian yang kunjung tiba setelah sekian lama menyaksikan ramai orang singgah di kedai-kedai durian di tepi jalan untuk membeli durian.
Umpama pesta, kemeriahan turut dirasakan dengan pembukaan gerai-gerai di tepi jalan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Bagi yang menggemari buah durian, aroma durian sahaja sudah membangkitkan selera. Pasti akan singgah untuk membeli sebiji dua.

Musim durian yang tiba ini umpama pesta bagi rakyat Malaysia yang ‘gilakan’ durian, sama ada untuk lepak bersama kawan atau makan durian bersama keluarga.

Durian bukan sahaja dimakan begitu sahaja. Kini terdapat banyak variasi makanan yang dicipta. Jika dahulu durian hanya dijadikan bubur dan serawa, kini durian menjadi perisa kek, aiskrim dan juga durian crepe yang disukai ramai.

Walaupun menjadi tumpuan dan kegemaran ramai, durian kini menjadi isu apabila berlaku lambakan stok durian sekaligus menyaksikan penurunan harga secara mendadak.

Dahulu, durian dianggap sebagai raja buah dan tidak boleh dibeli sesuka hati. Harganya boleh mencecah hingga RM70 untuk satu kilogram, menjadikannya antara buah yang mewah dan eksklusif untuk dinikmati apabila tiba musimnya.

Kini, situasinya jauh berbeza. Raja buah ini telah jatuh harganya. Harga durian kini hanya sekitar RM10 hingga RM15 sekilogram. Malah, peniaga turut mengubah cara jualan dengan menjual dalam bentuk bakul dan tidak lagi secara sebiji-sebiji.

Mahmud Kassim, seorang pekebun durian berkata, harga durian yang dijual memang jatuh buat masa ini selepas banyak kawasan turut menjual durian. Jika dahulu, durian di kebunnya seluas 2 hektar mampu terjual sekitar RM15,000.

Suasana kini telah berubah apabila lambakan durian mencipta stok yang berlebihan daripada permintaan. Situasi ini memaksa peniaga menurunkan harga untuk bersaing dengan pasaran yang dibanjiri buah semakin banyak.

Perkara ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Disebabkan harga durian yang tinggi sebelum ini, ramai mula melihat durian sebagai perniagaan yang menguntungkan.

Semakin ramai yang mula menanam pokok durian. Ada yang sanggup menebang tanaman sawit dan pokok getah hanya untuk menanam pokok durian.

Penanaman yang dilakukan secara serentak oleh ramai pihak menyebabkan musim penuaian turut berlaku pada masa yang sama hingga menyebabkan lambakan stok melebihi permintaan pasaran.

Kini, pelanggan dapat menikmati durian yang berkualiti dengan harga yang murah, namun para peniaga dan pekebun mula merasai kesannya.

Harga durian yang semakin murah ini tidak selari dengan kos penanaman yang ditanggung pekebun. Kos penanaman seperti racun, baja dan upah pekerja tidak berkurang, malah berkemungkinan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pekebun kecil mula mengalami kerugian kerana peniaga yang menjadi orang tengah mengambil stok durian dengan harga lebih rendah sebelum dijual semula dengan sedikit keuntungan.

Tiada pilihan lain untuk pekebun selain terus menghadapi keadaan ini daripada membiarkan lambakan durian rosak tidak terjual dan menambah kerugian.

Bagi mengurangkan impak akibat lambakan buah yang melebihi permintaan, ada juga peniaga yang mula mempelbagaikan kaedah jualan.

Antaranya, Loeai Ai Mohd Noh, seorang peniaga durian, menawarkan jualan RM100 untuk satu guni. Ramai pelanggan dari dalam dan luar negeri tertarik dengan promosi tersebut. Durian yang dimuatkan boleh mencecah 20 hingga 30 kilogram untuk satu guni.

Bagi pelanggan, jualan itu sangat berbaloi dengan harganya. Loeai Ai berkata idea itu tercetus selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggannya.

Secara keseluruhannya, musim durian kali ini memperlihatkan dua sisi yang berbeza dalam satu industri yang sama. Di satu pihak, pengguna menikmati durian dengan harga yang lebih mampu milik berbanding dahulu, menjadikan buah ini lebih mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Namun di pihak yang lain, pekebun dan peniaga berdepan realiti yang lebih mencabar apabila lambakan stok menyebabkan harga jatuh dan keuntungan semakin mengecil.

Fenomena ini menunjukkan bahawa di sebalik kemeriahan musim durian, wujud perubahan besar dalam struktur pasaran yang memberi kesan kepada semua pihak yang terlibat.

*Penulis merupakan pelajar Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

KHAIRINA ADRIANA KHAIRUNNIZAM

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button