Putera Andrew lepas gelaran diraja ekoran desakan Raja Charles
LONDON – Putera Andrew semalam mengumumkan peletakan gelaran diraja ‘Duke of York’ selepas didesak abangnya, Raja Charles III, susulan pendedahan baharu mengenai hubungannya dengan pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein.
Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Buckingham, Andrew, 65, berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Raja Charles dan menegaskan beliau mengutamakan tanggungjawab terhadap keluarga serta negara.
Bekas Duke of York itu sekali lagi menafikan semua tuduhan salah laku, namun mengakui isu berkenaan menjejaskan tumpuan keluarga diraja.
Beliau sebelum ini menarik diri daripada tugas rasmi diraja sejak 2019 berikutan skandal Epstein.
Media Britain melaporkan, Andrew turut akan melepaskan keanggotaan dalam Order of the Garter, manakala bekas isterinya, Sarah Ferguson, tidak lagi menggunakan gelaran Duchess of York.
Dua anak mereka, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie, kekal dengan gelaran diraja masing-masing.
Keputusan itu dibuat selepas laporan terbaharu mendedahkan pertukaran mesej antara Andrew dan Epstein pada 2011, walaupun beliau mendakwa sudah memutuskan hubungan dengan pesalah seks itu pada 2010.
Andrew sebelum ini dilucutkan gelaran ketenteraan pada 2022 dan dipaksa bersara selepas wanita Amerika, Virginia Giuffre, menuduhnya melakukan serangan seksual ketika beliau berusia 17 tahun.
Giuffre, yang meninggal dunia pada April lalu, turut mendakwa dalam memoir pascakematian bahawa Andrew menganggap hubungan mereka sebagai ‘hak semula jadinya’.
Menurut penganalisis diraja, keputusan melepaskan gelaran itu dianggap langkah perlu untuk memulihkan imej monarki Britain yang tercalar akibat siri skandal membabitkan Putera Andrew.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








