Raja Charles lucut gelaran diraja, usir Putera Andrew dari Istana Windsor
LONDON – Raja Britain, Raja Charles III, secara rasmi melucutkan semua gelaran dan penghormatan diraja adindanya, Putera Andrew, selain mengarahkannya keluar dari kediaman rasmi Istana Windsor, menurut kenyataan Istana Buckingham, semalam.
Tindakan tegas itu diambil bagi menjarakkan institusi diraja daripada skandal seks yang terus menghantui Putera Andrew berhubung hubungannya dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.
Putera Andrew, 65, iaitu anak kedua kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat, sebelum ini dipaksa berhenti menggunakan gelaran Duke of York.
Dengan keputusan baharu itu, beliau kini hanya dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor.
Istana Buckingham turut memaklumkan bahawa notis rasmi telah diserahkan kepada Andrew untuk menyerahkan pajakan kediamannya di Royal Lodge, Windsor dan bakal dipindahkan ke kediaman persendirian di Sandringham, timur England.
Tindakan ini disifatkan sebagai antara langkah paling dramatik terhadap anggota keluarga diraja Britain dalam sejarah moden, sekali gus menandakan ketegasan Raja Charles dalam menjaga maruah institusi monarki, walaupun baginda sendiri sedang menjalani rawatan kanser secara berkala.
Dalam kenyataan sama, Istana Buckingham menegaskan langkah tersebut diambil walaupun Putera Andrew terus menafikan semua tuduhan terhadapnya.
“Langkah-langkah ini dianggap perlu. Walau apa pun pendirian beliau, Raja dan Permaisuri ingin menzahirkan simpati mendalam kepada semua mangsa dan individu yang terselamat daripada apa juga bentuk penderaan,” kata kenyataan itu.

Putera Andrew yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai pegawai tentera laut gagah dalam Perang Falklands pada awal 1980-an telah meninggalkan semua tugas rasmi diraja sejak 2019 selepas berdepan pelbagai tuduhan salah laku seks.
Pada tahun 2022, beliau turut dilucutkan semua kaitan ketenteraan dan penaungan diraja selepas dakwaan serangan seks terhadap Virginia Giuffre.
Giuffre yang meninggal dunia dengan membunuh diri pada April lalu dalam bukunya mendakwa dipaksa beberapa kali melakukan hubungan seks oleh Andrew termasuk ketika masih remaja.
Andrew menafikan dakwaan itu namun memilih menyelesaikan saman di luar mahkamah.
Memoir Giuffre yang diterbitkan baru-baru ini kembali membangkitkan isu tersebut, dengan mendedahkan bahawa Andrew ‘merasa dirinya berhak terhadap wanita muda’ kerana status kelahirannya.
Lebih memburukkan keadaan, surat-menyurat antara Andrew dan Epstein dari tahun 2011 yang diterbitkan oleh akhbar Mail on Sunday dan The Sun mendedahkan hubungan rapat mereka
Sumber istana memaklumkan keputusan itu dibuat sendiri oleh Raja Charles namun mendapat sokongan penuh ahli keluarga diraja lain, termasuk Putera William, pewaris takhta.
Selain isu moral, tindakan memaksa Andrew meninggalkan Windsor juga dikatakan berpunca daripada laporan bahawa beliau tidak membayar sewa kediaman Royal Lodge selama hampir dua dekad, selepas menanggung kos ubah suai pada awalnya.
Malah, Jawatankuasa Parlimen Britain turut mempersoalkan sama ada wajar bagi Andrew untuk terus mendiami kediaman mewah itu dalam keadaan skandal masih menyelubunginya.
Pemerhati berpendapat tindakan keras Raja Charles itu bertujuan melindungi kredibiliti institusi monarki, terutama ketika sokongan rakyat terutamanya generasi muda terhadap keluarga diraja dilaporkan semakin merosot.
Langkah itu turut dibandingkan dengan peristiwa bersejarah pada tahun 1936 apabila Raja Edward VIII terpaksa turun takhta untuk mengahwini seorang sosialit Amerika yang telah bercerai, sekaligus menjadi antara episod paling mencabar dalam sejarah monarki Britain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








