SUKAN

PSM kini dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan menukar nama rasmi badan itu kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, perubahan nama tersebut berkuat kuasa serta-merta selepas kelulusan diberikan PJS.

“Walaupun berlaku perubahan pada nama, singkatan PSM dan logo rasmi kekal tidak berubah.

“Selepas ini, badan induk sukan sepaktakraw negara akan dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, penggiat sepak takraw Putrajaya, Shahzan Ismail mengucapkan tahniah kepada PSM atas kelulusan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah tepat ke arah memperkukuh kedudukan sukan itu di peringkat global.

“Sejak berada di bawah kepimpinan Datuk Sumali Reduan, PSM telah banyak berubah menjadi lebih proaktif dengan pelbagai kejayaan dicatat, khususnya pasukan negara.

“Pembangunan sepak takraw di peringkat akar umbi juga semakin mekar, sekali gus memberi harapan besar untuk menjadikan sukan tradisi ini diminati bukan sahaja dalam negara malah di seluruh dunia,” ujarnya lagi.

Katanya, penggiat sukan, pemain dan penyokong wajar bersama mendukung usaha PSM agar sepaktakraw terus berkembang serta mengangkat imej Malaysia di pentas antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button