POLITIK

PRN Sabah: GRS sedia hadapi bersendirian jika PH, BN muktamadkan kerjasama

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) secara bersendirian sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dimuktamadkan.

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, prinsip gabungannya adalah parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat, tanpa mengetepikan peranan serta kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.

“Sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.

“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kemudiannya berkata, perjuangan GRS adalah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.

“Seperti yang sering saya tekankan, kerajaan negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, PH dan BN telah mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN ke-17 Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Sehubungan itu, kata Hajiji lagi, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi PRN.

“GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button