BERITA SEMASASUKAN

Presiden PSSI tegas tidak campur tangan isu pemain naturalisasi Malaysia

CYBERJAYA – Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir menafikan dakwaan bahawa beliau memainkan peranan dalam mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kontroversi naturalisasi Malaysia.

Erick berkata, tidak masuk akal untuk Indonesia campur tangan dalam urusan bola sepak negara lain.

“Ya, sudah tentu tidak benar,” kata Thohir kepada detikSport hari ini, merujuk kepada khabar angin tersebut.

Baru-baru ini, tular dakwaan bahawa Erick yang juga Menteri Belia dan Sukan Indonesia, terlibat dalam membawa isu itu ke perhatian FIFA.

“Saya rasa, untuk apa kita campur tangan dalam kemajuan negara lain, sedangkan kita saling memerlukan?” katanya.

Beliau menambah, tumpuan sepatutnya diberikan kepada kerjasama serantau berbanding mencetuskan persengketaan, sambil menambah bahawa negara-negara Asia Tenggara perlu bekerjasama bagi meningkatkan mutu bola sepak.

“Sebab itu kita sama-sama memperbaiki kualiti. Jika bola sepak kita tidak meningkat, sudah tentu kita akan terus kalah kepada Eropah dan Amerika Latin,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, aduan awal kepada FIFA dikemukakan oleh Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) berhubung kelayakan tujuh pemain naturalisasi Malaysia iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Facundo Garces, Imanol Machuca, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado.

Kontroversi itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikenakan sekatan oleh FIFA pada akhir 2025 kerana menurunkan pemain yang didakwa menggunakan dokumen palsu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button