‘Presiden yang mulakan konflik sepatutnya jadi orang pertama di barisan hadapan’ – Cantona
LONDON – Mana-mana presiden yang memulakan konflik sepatutnya menjadi orang pertama yang bertempur di barisan hadapan.
Pandangan itu disuarakan lagenda bola sepak Manchester United, Eric Cantona ketika muncul dalam rancangan bual bicara Clique di saluran Canal+, minggu lalu.
Beliau berkata, satu undang-undang antarabangsa wajar diwujudkan bagi memastikan pemimpin politik dipertanggungjawabkan secara langsung terhadap peperangan yang mereka lancarkan, lapor Morocco World News.
“Saya mahu wujudkan satu undang-undang. Kita minta mahkamah antarabangsa mewujudkan undang-undang yang mengatakan jika seorang presiden memutuskan untuk memulakan perang, dia harus menjadi orang pertama berada di barisan hadapan, bukannya menghantar remaja berusia 18 tahun.
“Jika begitu, saya fikir peperangan akan berkurangan,” katanya.
Dalam wawancara itu, Cantona turut mengkritik keras cara pemimpin politik membuat keputusan mengenai perang sedangkan mereka sendiri berada jauh dari medan pertempuran.
“Mereka semua berada di pejabat yang besar, kemudian hantar remaja 18 tahun untuk mati.
“Dari rumah mereka sendiri, sering kali dari pihak yang ditindas. Tetapi di pihak yang satu lagi, ada yang belum pun berusia 18 tahun, ada yang baru berumur tiga atau dua tahun. Orang awam yang tidak bersalah,” katanya.
Beliau yang juga bintang legenda Perancis berpendapat, jika pemimpin terpaksa mempertaruhkan nyawa sendiri, jumlah konflik di seluruh dunia mungkin akan berkurang.
“Akan ada berkurangan (peperangan) kerana tidak ramai orang yang benar-benar berani,” katanya.
Keetika menyuarakan pandangan tersebut, Cantona menamakan Presiden Colombia, Gustavo Petro sebagai contoh jarang ditemui bagi seorang pemimpin yang beliau hormati.
Sebelum memenangi tampuk pemerintahan negara itu, Petro merupakan seorang pejuang gerila Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) dan pernah menyatakan kesediaannya untuk mengangkat senjata jika perlu.
“Saya suka presiden Colombia itu. Dia bekas FARC dan pernah berjanji tidak akan menyentuh senjata lagi. Tetapi dia berkata, ‘Jika Donald Trump datang ke sini, biarkan dia datang. Saya akan angkat senjata semula.’
“Jika ada pemimpin seperti itu, tidak mengapa. Tetapi kebanyakan mereka berada di pejabat sambil menghantar orang lain,” katanya.
Kenyataan Cantona itu muncul ketika ketegangan geopolitik global semakin meningkat, khususnya berkaitan perang yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang mendominasi tajuk berita antarabangsa sejak dua minggu lalu.
Cantona juga sering menjadi antara tokoh sukan yang lantang bersuara mengenai isu Palestin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








