Presiden Mesir mulakan Lawatan Negara dua hari ke Malaysia
KUALA LUMPUR – Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi memulakan Lawatan Negara selama dua hari ke Malaysia hari ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, El-Sisi diiringi menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Mesir dalam lawatan negara sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Jun 2014.
“Malaysia dan Mesir telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1959. Kedua-dua negara terus mengekalkan hubungan mesra dan akrab menerusi kerjasama yang kukuh di peringkat dua hala serta pelbagai hala.
“Lawatan negara Presiden El-Sisi dijangka memperkukuh lagi perkongsian yang telah lama terjalin dan kian berkembang antara kedua-dua negara menerusi peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik,” menurut kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Sepanjang lawatan itu, El-Sisi akan diberikan Majlis Sambutan Negara sebelum menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menghoskan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Mesir itu bersama delegasinya.
Menurut Wisma Putra, El-Sisi turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Mereka kemudian akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Mesir, diikuti Majlis Minum Petang Rasmi yang dihoskan Anwar di Kompleks Seri Perdana.
Dari segi perdagangan, Mesir merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia dalam kalangan negara Afrika pada 2025.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada tahun itu bernilai RM3.08 bilion (AS$0.72 bilion), dengan eksport Malaysia ke Mesir berjumlah RM2.55 bilion (AS$0.60 bilion), manakala import dari negara itu bernilai RM530 juta (AS$0.12 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah dagangan antara Malaysia dan Mesir meningkat sebanyak 74.7 peratus kepada RM3.49 bilion (AS$0.87 bilion).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








