BERITA SEMASAPOLITIK

AMK Johor bidas ugutan terhadap mahasiswa UM, sokong pelajar bersuara secara kritis

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor mempertahankan hak mahasiswa untuk mengemukakan soalan dan menyuarakan pandangan secara kritis tanpa berdepan ugutan, susulan kontroversi membabitkan seorang penuntut Universiti Malaya (UM) dalam forum iFUTURE 2026.

Ketuanya, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, pihaknya memandang serius ugutan, kecaman dan desakan daripada pihak tertentu supaya tindakan dikenakan terhadap Ummi Umairah yang mengemukakan persoalan berkaitan Datuk Seri Najib Razak dalam forum berkenaan.

Menurutnya, mahasiswa perlu diberikan ruang untuk berfikir secara kritis dan menyuarakan pandangan tanpa dibayangi ugutan pihak tidak bertanggungjawab.

AMK Johor turut merakamkan penghargaan kepada UM kerana tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswa terbabit.

“AMK Johor ingin tegaskan bahawa kebebasan bersuara merupakan prinsip yang mesti dipertahankan tanpa mengira siapa yang bertanya atau siapa yang dipersoalkan.

“Kita mahu melahirkan generasi muda yang berani berfikir dan bersuara demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, AMK Johor menyambut baik Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya langkah yang disifatkan sebagai usaha membela kebajikan rakyat dan menjamin masa depan golongan muda.

Faezuddin berkata, peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 serta penambahan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion mencerminkan komitmen kerajaan menangani kos sara hidup.

Beliau turut menyentuh kenaikan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200, peruntukan RM8 bilion bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui BAKAT MADANI.

Sementara itu, AMK Johor mengumumkan penstrukturan semula jawatankuasanya bagi memperkukuh jentera organisasi, memperhebat gerak kerja di peringkat akar umbi dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 serta Pilihan Raya Negeri Johor akan datang.

Faezuddin turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan yang diberikan kepercayaan, sambil mengingatkan bahawa jawatan merupakan amanah yang perlu dilaksanakan menerusi khidmat kepada rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button