BERITA SEMASA

242 pelajar tajaan MARA di Perancis selamat susulan rusuhan

KUALA LUMPUR – Kesemua 242 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedang menuntut di Perancis dilaporkan berada dalam keadaan selamat meskipun negara itu berdepan kejadian rusuhan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar terbabit telah diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menjauhi kawasan awam yang terjejas akibat rusuhan.

“Alhamdulillah status 242 Pelajar Tajaan Mara di Perancis selamat dan mereka diminta untuk sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan-kawasan awam yang terbabit dengan rusuhan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Perkembangan itu menyusul laporan media mengenai gelombang protes dan rusuhan yang melanda beberapa negara Eropah sejak September lalu, dengan keadaan dilaporkan memuncak di beberapa bandar utama termasuk Paris dan Milan, Itali, pada Sabtu lalu.

Ketegangan berkenaan dikaitkan dengan kemarahan orang ramai terhadap pelbagai isu, antaranya kebajikan pelajar, kemerosotan mutu perkhidmatan awam dan peningkatan kos sara hidup.

Demonstrasi yang melibatkan ratusan ribu peserta di beberapa bandar itu turut bertukar ganas apabila berlaku kerosakan terhadap bangunan awam, pembakaran kenderaan serta kejadian rompakan premis perniagaan.

Sehubungan itu, aspek keselamatan pelajar Malaysia di negara berkenaan terus menjadi perhatian, khususnya bagi memastikan mereka menjauhi lokasi berisiko dan mematuhi nasihat keselamatan sepanjang tempoh ketegangan berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button