Polis siasat pengguna Facebook buat komen provokasi, hina kaum dan Islam
JERANTUT – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook susulan komen yang dipercayai mengandungi provokasi perkauman dan penghinaan terhadap Islam.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, laporan dibuat pada pukul 11 pagi semalam terhadap pemilik akaun berkenaan berhubung kenyataan berbaur provokasi yang menghina Islam dan umat Islam.
Katanya, komen itu dimuat naik oleh individu terbabit dengan niat menggugat keamanan atau membangkitkan kemarahan awam dan siasatan sedang dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik atau berkongsi kandungan melibatkan sensitiviti agama dan kaum kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Arshad menambah, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan awam, ketenteraman dan keharmonian masyarakat.
Beliau kemudiannya memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan seseorang dengan niat mencetuskan pecah keamanan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, pemilik akaun Facebook itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








