JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat hantaran seru himpunan di kuil dekat pintu masuk Hospital Bukit Mertajam

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah memulakan siasatan berhubung hantaran di media sosial oleh seorang penceramah mengenai penganjuran perhimpunan di sebuah kuil Hindu berhampiran pintu masuk Hospital Bukit Mertajam, 7 Mac ini.

Siasatan itu susulan laporan polis dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada 3 Mac lalu terhadap individu dikenali sebagai Zamri Vinoth.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang berunsur provokasi atau membuat spekulasi sehingga boleh mencetuskan niat jahat serta permusuhan antara kaum atau golongan penduduk di negara ini.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyertai atau menganjurkan sebarang perhimpunan yang boleh menimbulkan kekacauan atau menjejaskan ketenteraman awam masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis sentiasa memantau rapi perkembangan semasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa supaya perhimpunan yang dinamakan sebagai Ops Terjahan Rumah Anutan Haram yang didakwa akan diadakan di sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam, Sabtu depan dibatalkan serta-merta.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan tiada mana-mana pihak perlu menjadi ‘wira’ dengan memainkan sentimen agama serta kaum sehingga boleh menjejaskan keharmonian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button