Polis kesan dua akaun FB guna nama NSRC perdaya mangsa
KUALA LUMPUR – Pihak polis mengesan dua akaun Facebook yang menggunakan nama Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) dengan menyamar sebagai pihak berkuasa bagi memperdaya mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, akaun tersebut didapati menggunakan nama NSRC untuk memancing maklumat peribadi mangsa dan mendapatkan wang secara tidak sah.
“NSRC tidak mempunyai sebarang akaun media sosial termasuk Facebook, malah pusat itu berfungsi sebagai pusat panggilan yang hanya menerima aduan menerusi talian 997.
“NSRC beroperasi secara komunikasi sehala iaitu hanya menerima panggilan daripada orang awam. Pusat ini tidak akan menghubungi individu melalui telefon atau menggunakan aplikasi pesanan seperti WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rusdi berkata, sebarang panggilan atau mesej yang mendakwa daripada NSRC adalah penipuan semata-mata.
“Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, PDRM menggesa mangsa segera menghubungi NSRC di talian 997 bagi melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam supaya peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan adalah lebih tinggi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






