JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru suspek cabul wanita balik kerja

SHAH ALAM – Polis sedang memburu suspek lelaki dipercayai mencabul seorang wanita yang sedang berjalan untuk pulang ke rumahnya di Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia awal 20-an pukul 9.06 malam semalam.

Beliau menambah, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.10 malam ketika mangsa berjalan seorang diri pulang dari tempat kerja melalui sebuah lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan.

“Secara tiba-tiba, mangsa diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan berseluar hitam.

“Suspek kemudiannya bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan merabanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sarudin berkata, suspek kemudian melarikan diri dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Muhammad Zamri Abdul Rahman menerusi talian 011 16652402 atau terus ke balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button