BERITA SEMASA

Polis bincang dengan penganjur Himpunan Melayu Berdaulat, jamin pematuhan APA 2012

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengadakan perbincangan dengan penganjur Himpunan Melayu Berdaulat yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 24 Mei ini bagi memastikan penganjuran perhimpunan tersebut mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah menerima notis berhubung penganjuran himpunan berkenaan dan kini sedang menilai pelbagai aspek berkaitan.

“Kami mengesahkan menerima makluman berhubung perhimpunan yang dirancang diadakan pada tarikh terbabit. Ketika ini, polis masih dalam proses perbincangan dengan pihak penganjur bagi memastikan segala aspek APA 2012 dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis turut mengambil maklum bahawa perhimpunan tersebut dijadualkan berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur dan sedang membuat penilaian menyeluruh terhadap implikasi keselamatan serta ketenteraman awam.

“Perbincangan lanjut akan menentukan sama ada lokasi alternatif perlu dicadangkan bagi memastikan ketenteraman awam dapat dikekalkan,” tambahnya.

Himpunan Melayu Berdaulat dianjurkan oleh gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Syed Hassan Syed Ali dan dijangka menghimpunkan lebih 15,000 peserta.

Perhimpunan tersebut bertujuan menyuarakan pelbagai isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, termasuk bantahan terhadap cadangan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar serta isu membabitkan tanah rizab Melayu.

Ia dijadual bermula pada pukul 2.30 petang di perkarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button