PN Perlis sangkal dakwaan gerakan jatuhkan MB, hubungan PAS–BERSATU kekal utuh
KANGAR – Perikatan Nasional (PN) Perlis menegaskan tiada sebarang usaha atau komplot untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, sebaliknya menekankan pentadbiran negeri kekal stabil dengan sokongan penuh parti komponen.
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, hubungan antara PAS dan BERSATU dalam kerajaan negeri berada dalam keadaan baik, malah kepimpinan PAS Pusat telah memutuskan untuk terus menyokong pentadbiran sedia ada sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, sebarang dakwaan mengenai usaha menjatuhkan Menteri Besar adalah tidak berasas, malah tidak selari dengan pendirian parti.
“Semua ini hanyalah spekulasi yang dimainkan pihak tertentu. Tiada pakatan untuk usul undi tidak percaya. PAS Pusat sudah menetapkan sokongan kepada kerajaan sehingga pilihan raya akan datang.
“Jika benar PAS mahu membuat perubahan, tidak perlu melalui usul undi tidak percaya kerana parti itu memiliki majoriti kerusi DUN. Namun itu bukan pendekatan yang diambil,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis berkata demikian ketika mengulas polemik penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang mencetuskan khabar angin mengenai ketegangan antara wakil rakyat PAS dan Menteri Besar daripada BERSATU.

Mengulas tindakan enam wakil rakyat PAS yang menuntut penjelasan berhubung penangguhan tersebut, Shahidan menjelaskan ia dibuat atas kapasiti individu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bukan mewakili pendirian rasmi parti.
Katanya, langkah itu sekadar untuk mendapatkan penjelasan dan tidak bertujuan menjejaskan keharmonian dalam kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau percaya keputusan menangguhkan sidang DUN dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur sedia ada, bukannya disebabkan kebimbangan terhadap kemungkinan undi tidak percaya.
Sebelum ini, Abu Bakar turut menafikan penangguhan sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April dibuat kerana bimbang kedudukannya terancam.
Sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan nasihat tertentu dan bukan di bawah kuasa mutlak Menteri Besar, demi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.
Terdahulu, enam wakil rakyat PAS diketuai ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli bersama ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan; ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil; ADUN Simpang Empat, Razali Saad; ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad dan ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun meminta penjelasan berhubung penangguhan yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







