Ahli PAS diingat jangan ‘curah minyak ke dalam api’ – Shahidan
KANGAR – Kepimpinan PAS Perlis mengingatkan semua ahlinya agar berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya di media sosial supaya tidak memburukkan lagi kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Pesuruhjaya PAS Perlis III, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sebarang kenyataan yang bersifat mengapi-apikan keadaan hanya akan mencetuskan ketidakstabilan dan menjejaskan keharmonian pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, peringatan itu dibuat susulan wujudnya pelbagai kenyataan di media sosial, sama ada menggunakan akaun sebenar mahupun palsu yang disifatkan tidak wajar dikeluarkan, apatah lagi jika melibatkan ahli PAS sendiri.
“Jangan mencurah minyak ke dalam api yang sedang menyala. Mana-mana orang PAS tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang melagakan atau menghasut pihak lain.
“Parti ini bukan milik individu, sebaliknya milik bersama. Elakkan prasangka dan jika ada dalam kalangan ahli PAS yang cuba ‘menyalakan api’, kami sedang memerhati dan tindakan akan diambil,” katanya kepada media hari ini, seperti dilaporkan Sinar Online.
Kemelut politik di Perlis tercetus selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU dan tiga ADUN PAS didakwa mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Susulan perkembangan itu, PAS memutuskan keahlian tiga ADUN parti berkenaan digantung serta-merta.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela pada Khamis lalu atas faktor kesihatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








