Suami isteri antara lima ditahan, 510kg syabu bernilai RM25.5 juta dirampas
KANGAR – Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri serta merampas 510 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM25.5 juta dalam tiga serbuan di sekitar Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semua suspek warga tempatan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun.
Menurutnya, mereka dipercayai merupakan ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak beberapa tahun lalu.
“Dalam serbuan pertama pada 24 Mac, pasangan suami isteri bersama seorang lelaki yang menaiki dua kenderaan ditahan di jalan utama Wang Kelian.
“Pemeriksaan lanjut menemui 20 guni mengandungi 500 paket plastik berisi methamphetamine dalam salah sebuah kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Beliau berkata, polis turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah kenderaan suspek kerana tindakan mereka yang membahayakan anggota dan berisiko menyebabkan kemalangan.
Menurutnya, hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada 27 dan 28 Mac di sekitar kawasan sama.
“Ujian saringan air kencing mendapati empat suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya lagi.
Tambah beliau, kesemua suspek direman antara lima hingga tujuh hari bermula 25 Mac dan 29 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam masa sama, polis turut menyita aset bernilai RM566,200 melibatkan enam kenderaan termasuk pikap serta lapan motosikal di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Hussein berkata sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan hutan di Wang Kelian untuk menyeludup dadah sebelum dihantar ke lokasi transit berhampiran jalan utama.
“Dadah kemudiannya diambil oleh suspek sebelum diedarkan ke pasaran tempatan termasuk Lembah Klang dan selatan tanah air,” katanya lagi.
Beliau berkata, ketua sindiket berusia lingkungan 40-an dipercayai melarikan diri ke Thailand dan pihak polis sedang mendapatkan kerjasama pihak berkuasa negara jiran itu bagi mengesannya.
“Rampasan ini dianggarkan mampu menjejaskan kira-kira 2.55 juta penagih sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








