BERITA SEMASAPOLITIK

PKR Sabah sokong teguh PMX, mahu agenda MADANI diteruskan

KOTA KINABALU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menegaskan bahawa agenda Ekonomi MADANI perlu diteruskan demi kesejahteraan rakyat Sabah dan seluruh Malaysia.

Kenyataan bersama Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, menyifatkan pengumuman terkini oleh Perdana Menteri sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap beban kos sara hidup rakyat yang semakin mencabar.

“Langkah-langkah seperti pemberian tunai RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, pembekuan kenaikan tol serta peluasan program Jualan Rahmah MADANI adalah pendekatan berani dan menyeluruh yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut PKR Sabah, penurunan harga RON95 amat signifikan khususnya kepada rakyat di kawasan pedalaman Sabah yang banyak bergantung kepada pengangkutan jalan raya dan sungai.

Tambah mereka, peluasan program Jualan Rahmah MADANI ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) membolehkan penduduk luar bandar mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pasar raya di bandar.

“Ini membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar mendengar keluhan rakyat, malah bertindak dengan langkah konkrit dan saksama,” kata mereka lagi.

Pemberian tunai menerusi MyKad kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang juga disifatkan sebagai langkah progresif yang menghargai sumbangan setiap individu dalam proses pemulihan negara.

PKR Sabah turut menyambut baik pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan kejayaan program pembasmian miskin tegar yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Program akar umbi seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI yang turut dilaksanakan di Sabah membuktikan komitmen kerajaan untuk tidak meminggirkan rakyat di wilayah Borneo.

“Pengisytiharan cuti umum khas pada 15 September sempena Hari Malaysia sebagai lambang kesatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sabah dan Sarawak bukan lagi dianggap wilayah pinggiran, sebaliknya rakan setara dalam perjalanan membina Malaysia yang lebih adil dan makmur.” kata kenyataan itu lagi.

PKR Sabah turut merakamkan ucapan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat negeri berkenaan dan kerjasama erat antara Sabah dan Sarawak adalah kunci kepada pembinaan negara bangsa yang inklusif dan progresif.

PKR Sabah turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan yang lebih cerah untuk negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button