BERITA SEMASA

PISA : Israel catat prestasi akademik terburuk

TEL AVIV – Prestasi pelajar Israel dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 merosot ke tahap terburuk sejak negara itu menyertai program penilaian berkenaan, melibatkan Matematik, Membaca dan Sains.

Keputusan yang diterbitkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) itu menunjukkan kedudukan Israel jatuh masing-masing enam anak tangga dalam Matematik, tujuh dalam Membaca dan lapan dalam Sains berbanding PISA 2022.

Pegawai Kementerian Pendidikan Israel menyifatkan keputusan itu sebagai ‘malapetaka pada skala bersejarah’.

Dalam Sains, Israel menduduki tangga ke-44 daripada 90 negara, manakala Matematik berada di tangga ke-43 daripada 44 negara maju yang dibandingkan, hanya mengatasi Albania. Bagi Membaca, Israel berada di tangga ke-37.

Prestasi itu turut menunjukkan peningkatan ketara jumlah pelajar berprestasi rendah berbanding 2015, iaitu masing-masing 14 mata peratusan dalam matematik dan membaca serta sembilan mata peratusan dalam sains.

Dalam Matematik, hanya 54 peratus pelajar Israel mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2, berbanding purata OECD sebanyak 65 peratus. Hanya lima peratus mencapai Tahap 5 atau 6, berbanding purata OECD lapan peratus.

Bagi Sains, kira-kira 60 peratus mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2, jauh lebih rendah daripada purata OECD 74 peratus, manakala hanya empat peratus mencapai Tahap 5 atau 6.

Prestasi membaca turut lemah apabila hanya 59 peratus mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2, berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.

OECD bagaimanapun mengesahkan semua data Israel yang menyertai PISA pada 2002 memenuhi piawaian kualiti PISA dan sesuai untuk dilaporkan.

PISA dilaksanakan setiap tiga tahun bagi menilai pengetahuan dan kemahiran pelajar berusia 15 tahun, termasuk keupayaan menyelesaikan masalah kompleks, berfikir secara kritis dan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi sebenar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button