SUKAN

Piala Malaysia: Kuching City cipta sejarah, singkir Selangor mara ke final

KUCHING – Kuching City FC melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mara ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan Selangor FC dengan agregat 2-1 pada aksi separuh akhir.

Pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Negeri Sarawak malam tadi, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mencatat kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Petrus Shitembi pada minit ke-30.

Kemenangan itu melengkapkan agregat 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 5 April lalu.

Perlawanan menyaksikan Selangor berdepan detik sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-52 selepas kapten mereka, Mohammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan kesalahan menghalang peluang jaringan.

Situasi bertambah buruk buat skuad bimbingan Kim Pan Gon apabila Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi turut dibuang padang pada minit ke-63 selepas melakukan terjahan keras, sekali gus memaksa pasukan itu beraksi dengan sembilan pemain.

Bagaimanapun, kelebihan dua pemain gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kuching City untuk menambah jaringan, namun keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kuching City bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim FC yang mara ke final selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan agregat besar 8-1.

Perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini, sekali gus menjadi pentas penentuan sama ada Kuching City mampu mencipta satu lagi kejutan dalam sejarah bola sepak negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button