BERITA SEMASA

Polis beri amaran keras, tiada kompromi jika cetus kekecohan final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau kumpulan agar tidak mencetuskan sebarang provokasi, rusuhan atau kekacauan sepanjang perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang semasa akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam sebelum, semasa dan selepas perlawanan berlangsung.

Menurut beliau, aksi final itu dijangka menarik kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 penyokong dengan semua pintu masuk stadium akan dibuka seawal pukul 5 petang tertakluk kepada keadaan semasa dan cuaca.

“Pihak PDRM telah membuat persiapan rapi dan bekerjasama dengan pelbagai agensi serta jabatan bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang perlawanan berlangsung.

“Pemeriksaan tubuh badan dan barangan akan dilakukan oleh petugas marshall di setiap pintu masuk stadium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang dilarang dibawa masuk ke stadium ialah dadah, mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, objek tajam, senjata berbahaya, minuman keras, payung, tongkat, powerbank, botol air, rokok elektronik, dron, pembesar suara, wisel, air horn dan kipas tangan elektronik.

Katanya, penggunaan gendang hanya dibenarkan dengan kebenaran pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Dalam pada itu, orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam ke stadium selain mengelakkan laluan sekitar Bukit Jalil sekiranya tidak mempunyai urusan menyaksikan perlawanan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Penyokong juga diminta mematuhi arahan pegawai dan anggota polis bertugas selain mengamalkan sikap sabar, berhemah dan bertolak ansur ketika menyaksikan perlawanan.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap mana-mana kenderaan yang diletakkan di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button