SUKAN

Piala Emas Khir Johari edisi ke-58 kembali, aksi sengit menanti peminat

KUALA LUMPUR – Kejohanan sepaktakraw berprestij negara, Piala Emas Khir Johari kembali bagi edisi ke-58 dengan aksi dijangka lebih sengit apabila menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negara.

Barisan pemain pasukan Sepaktakraw Putrajaya bakal memberi saingan sengit pada edisi kali ini.

Kejohanan yang berlangsung dari 7 hingga 12 April ini akan diadakan di Akademi Sepaktakraw Malaysia, sekali gus mencatat sejarah sebagai penganjuran pertama di lokasi berkenaan.

Penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan 21 pasukan dalam kategori berpasukan lelaki, manakala 12 pasukan lagi akan bersaing dalam kategori regu wanita, membuktikan sukan sepaktakraw terus mendapat sambutan dan berkembang dalam kalangan atlet lelaki serta wanita.

Edisi ke-58 ini dijangka menyajikan aksi berintensiti tinggi dengan permainan pantas, kemahiran teknikal serta aksi akrobatik yang menjadi tarikan utama sukan tersebut.

Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu di samping mengasah keupayaan pemain berpengalaman dalam persaingan kompetitif.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan aksi secara langsung, harga tiket ditawarkan pada kadar berpatutan iaitu RM5 bagi peringkat kumpulan, manakala RM10 bagi peringkat suku akhir hingga perlawanan akhir.

Tiket boleh didapati di kaunter sepanjang kejohanan berlangsung, sekali gus memudahkan orang ramai hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Sebagai rekod, kejohanan itu merupakan antara acara sepaktakraw paling berprestij di negara ini sejak diperkenalkan pada 1962 dan terus menjadi pentas utama memartabatkan sukan warisan tersebut.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan kejohanan dan menyaksikan sendiri aksi mendebarkan pemain tempatan di tempat berlangsung pertandingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button