
Pesawat MAS dari Melbourne ke Kuala Lumpur mendarat cemas di Australia
KUALA LUMPUR – Pesawat Malaysia Airlines MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Alice Springs (ASP) di wilayah tengah Australia pagi tadi selepas mengalami masalah berkaitan enjin.
Pesawat yang membawa 258 penumpang itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6 pagi bagaimanapun terpaksa mendarat di ASP pada pukul 4.35 pagi.
Malaysia Airlines (MAS) dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat A330-300 itu dilencongkan ke ASP kerana berlaku isu teknikal.
“MAS sedang giat berusaha menempah semula tiket penumpang bagi penerbangan baharu selain mengatur penginapan dan pembayaran balik untuk perbelanjaan makan penumpang.
“Kami kesal atas kesulitan yang disebabkan oleh kelewatan pemunggahan bagasi.
“Kami juga sedang bekerjasama dengan pengendali lapangan terbang untuk menangani had peralatan untuk pesawat berbadan lebar dan mempercepatkan proses penerbangan semula,” katanya.
Berita 9News melaporkan, kesemua penumpang dan anak kapal ditempat di beberapa hotel berhampiran lapangan terbang sementara menunggu perjalanan semula yang diuruskan oleh MAS.

Pengurus Besar Eksekutif Airport Development Group (ADG), Rob Porter berkata, pendaratan cemas pesawat MAS tidak membabitkan sebarang kecederaan penumpang dan tindakan kecemasan telah dilaksanakan mengikut prosedur yang baik dan pantas.
“Kami berbesar hati melaporkan bahawa semua penumpang selamat dan kami memuji respons pantas dan terkoordinasi pasukan kami, syarikat penerbangan dan perkhidmatan kecemasan,” katanya.
Porter turut mengesahkan sebilangan kecil penumpang akan bermalam di ASP dan diterbangkan keluar dalam penerbangan domestik esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















