Malaysia Airlines, Firefly tawar tambang subsidi ke Sabah, Sarawak sempena Tahun Baharu Cina
KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines dan Firefly menawarkan tambang sehala bersubsidi dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak sempena musim puncak perayaan Tahun Baharu Cina sebagai usaha membantu meringankan kos perjalanan orang ramai.
Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan memaklumkan, subsidi tambang itu ditawarkan bagi tempoh perjalanan antara 13 hingga 16 Februari depan selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memastikan akses perjalanan udara lebih meluas ketika musim perayaan.
Menurut MAG, Malaysia Airlines menawarkan subsidi tambang sehingga RM569 sehala termasuk semua kos dari Kuala Lumpur ke destinasi seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Labuan, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.
Sementara itu, Firefly menyediakan subsidi tambang sehingga RM548 sehala termasuk semua kos ke destinasi terpilih meliputi Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu.
“Tambang disubsidi ini melengkapkan jadual penerbangan perayaan yang diperluas sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan dan memastikan kapasiti serta ketersambungan yang boleh dipercayai sepanjang tempoh puncak Tahun Baharu Cina,” menurut kenyataan itu.
MAG turut memaklumkan kempen Global New Year masih dibuka sehingga 20 Januari ini bagi perjalanan sehingga 30 November 2026 dengan tambang pergi-balik termasuk semua kos bermula dari RM159. Ahli Enrich pula layak menikmati diskaun tambahan lima peratus bagi tambang promosi.
“Pengembara yang terbang bersama Malaysia Airlines dan Firefly boleh menjangkakan pengalaman perjalanan yang selesa dan menyeluruh, disokong perkhidmatan prihatin sepanjang perjalanan,” katanya.
Menurut MAG, lebih 2,400 penerbangan akan dikendalikan sepanjang tempoh perjalanan Tahun Baharu Cina termasuk sehingga 198 penerbangan tambahan oleh Malaysia Airlines dan Firefly bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang musim perayaan.
Jadual penerbangan perayaan itu akan beroperasi antara 11 hingga 23 Februari 2026 susulan jangkaan permintaan tinggi yang disokong oleh perancangan kapasiti diperkukuh dan sambungan domestik yang stabil.
“Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 1,498 penerbangan, termasuk tambahan 130 penerbangan bagi memenuhi peningkatan permintaan.
“Firefly pula akan mengoperasikan sehingga 962 penerbangan antara 13 dan 23 Februari 2026 termasuk 68 penerbangan tambahan sekali gus memperkukuh rangkaian penerbangan ketika musim puncak,” katanya.
MAG berkata, operasi diperluas itu memberi tumpuan kepada laluan utama pulang ke kampung antara Semenanjung dan Malaysia Timur termasuk Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
“Secara keseluruhan, rangkaian domestik yang diperluas ini mengukuhkan peranan MAG sebagai penghubung utama rakyat Malaysia pada salah satu tempoh perjalanan paling sibuk tahun ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








