POLITIK

Pertumbuhan ekonomi mesti dirasai rakyat – Fahmi

MELAKA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pencapaian ekonomi negara diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, meskipun Malaysia merekodkan pelbagai pencapaian positif, tugasan kerajaan masih belum selesai selagi rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan isu pendapatan.

Menurutnya, kestabilan politik ketika ini menjadi asas penting kepada kerajaan untuk meneruskan reformasi dan memulihkan ekonomi negara.

“Kestabilan politik memberikan ruang kepada kerajaan untuk merancang, melaksanakan pembaharuan, menarik keyakinan pelabur dan membuat keputusan ekonomi untuk tempoh yang lebih panjang,” katanya ketika membentangkan usul ekonomi dan kestabilan politik pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Fahmi berkata, ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026 sebelum melonjak kepada enam peratus pada suku kedua, mengatasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Malaysia turut mencatatkan rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada 2025 berjumlah RM426.7 bilion.

“Momentum tersebut berterusan apabila RM92.8 bilion pelaburan diluluskan dalam tiga bulan pertama 2026, yang dijangka menghasilkan lebih 50,000 pekerjaan baharu,” katanya lagi.

Fahmi berkata, disiplin fiskal negara turut menunjukkan kemajuan apabila defisit dikurangkan kepada 3.7 peratus pada 2025, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada tiga peratus setakat Jun 2026.

“Kejayaan ekonomi tidak boleh diukur berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata.

“Kita mesti bertanya, adakah pelaburan berbilion ringgit sudah diterjemahkan kepada pekerjaan dengan gaji yang lebih baik?

“Adakah seorang ibu yang pergi ke pasar merasakan tekanan kos sara hidup semakin ringan?” soalnya lagi.

Menurut Fahmi, median gaji bulanan pekerja sektor formal pada Mac 2026 adalah sekitar RM3,027.

“Justeru, fasa seterusnya Ekonomi MADANI perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan bermaruah untuk rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, MPP PKR mengemukakan 12 ketetapan usul utama termasuk mempertahankan kestabilan politik sebagai asas kelangsungan reformasi, memastikan pertumbuhan KDNK diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan mobiliti sosial serta memperjuangkan agenda gaji bermaruah.

Turut diberi penekanan ialah penilaian berkala gaji minimum, memastikan penyasaran subsidi seperti BUDI95 benar-benar melindungi rakyat, memperkasa bantuan MADANI termasuk STR dan SARA serta membanteras rasuah dan ketirisan.

Fahmi turut menyeru jentera PKR di peringkat Cabang dan Ranting supaya menjadi “mata dan telinga” kerajaan dalam mengumpulkan maklum balas rakyat berkaitan isu harga barang, gaji dan perumahan.

“Kestabilan politik mesti menghasilkan reformasi, reformasi mesti menghasilkan pertumbuhan, dan pertumbuhan mesti menghasilkan pendapatan yang membawa kepada kehidupan lebih baik buat semua,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button