Pertikaian di TikTok bawa padah, remaja maut ditikam di dada
MEAUX – Perselisihan faham di aplikasi TikTok berakhir tragedi apabila seorang remaja lelaki maut selepas ditikam di dada oleh suspek berusia 17 tahun dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Villevaude, pinggir bandar Paris, Sabtu lalu.
Pendakwa raya tempatan, Jean-Michel Bladier berkata, suspek telah dihadapkan ke mahkamah di Meaux pada Isnin atas pertuduhan membunuh dengan niat dan kini direman sementara menunggu prosiding lanjut pada Khamis ini, lapor AFP.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca apabila suspek berulang kali ditolak sebagai kenalan di TikTok oleh seorang gadis.
“Selepas berlaku perbualan telefon yang tegang antara suspek dan gadis tersebut pada Sabtu, telefon itu kemudiannya diambil oleh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga teman lelaki kepada rakan karib gadis berkenaan sebelum mencabar suspek untuk bertumbuk di tapak perkhemahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserang dua individu di lokasi kejadian sebelum mengalami tikaman maut di dada.
Suspek berjaya dikenal pasti hasil keterangan saksi sebelum ditahan pada malam Sabtu ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah hospital di pinggir Paris akibat kecederaan pada tangan yang didakwanya berlaku secara tidak sengaja.
Menurut Bladier, suspek mengaku membawa sebilah pisau ke lokasi kejadian bagi menunjukkan dia tidak takut untuk berdepan dengan mangsa.
Bagaimanapun, suspek mendakwa dia hilang kawalan ketika pergaduhan berlaku dan tidak berniat membunuh mangsa.
Siasatan turut mendapati remaja itu mempunyai rekod jenayah juvana melibatkan kes keganasan terhadap saudara yang lebih tua selain kesalahan memiliki senjata.
Dalam pada itu, seorang lagi individu yang dipercayai bersubahat dengan suspek masih belum dikenal pasti pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















