BERITA SEMASA

Pengurusan gagal lapor kes buli berdepan tindakan tegas – KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan pihak pengurusan di jabatan dan agensi kementerian itu yang gagal melaporkan sebarang kes buli di tempat kerja akan berdepan tindakan sewajarnya.

Dzulkefly (tengah) bersama barisan kepimpinan tertinggi KPM menunjukkan buku garis panduan mengenai buli.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setiap aduan mesti disiasat dengan teliti berasaskan prinsip keadilan dan ketelusan malah tindakan tetap akan diambil walaupun tiada sabitan.

“Ya, sudah tentu. Semua aduan mesti melalui proses sewajarnya. Kita tidak akan berkompromi. Jika terbukti bersalah, tindakan setimpal akan diambil.

“Walaupun tiada sabitan, teguran tetap akan diberikan. Kita mahu membudayakan sikap saling menegur, seperti konsep tawasi dalam al-Quran iaitu saling mengingatkan agar tidak membiarkan rakan dimangsakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Menangani Buli di Tempat Kerja khusus bagi warga KKM di sini, hari ini.

Peluncuran garis panduan itu sekali gus menjadikan KKM agensi pertama dalam perkhidmatan awam yang memperkenalkan dokumen rasmi menangani isu tersebut.

Dzulkefly menegaskan, di bawah kepimpinannya, KKM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap buli, sambil menegaskan ‘buli bukan budaya di KKM’.

Katanya, garis panduan yang dilancarkan itu memperincikan tatacara pengendalian kes buli, selain memberi jaminan perlindungan penuh kepada mangsa dan pengadu.

“Dalam garis panduan ini, KKM memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dilindungi sepenuhnya. Perlindungan mangsa dan pengadu adalah keutamaan,” jelasnya.

Sebahagian warga KKM yang hadir pada program berkenaan.

Sejak 1 Oktober 2022 sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 430 aduan berkaitan buli telah direkodkan melalui saluran MyHelp dan empat kes sedang disiasat.

Selain garis panduan itu, KKM turut mempunyai pelbagai inisiatif sokongan seperti Garis Panduan HATS untuk kesihatan mental pegawai perubatan siswazah, waktu kerja fleksibel, modul budaya korporat, program AKRAB, unit kaunseling serta talian HEAL 15555 yang beroperasi setiap hari termasuk cuti umum.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut menyentuh isu kesihatan awam lain, termasuk obesiti dan diabetes yang dijangka menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2026.

Katanya, beberapa cadangan inisiatif baharu telah dikemukakan melalui sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bagi memperkukuh pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCDs).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button