KKM komited pastikan keperluan perubatan, kesihatan mangsa kebakaran saluran paip gas
SUBANG JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam usaha memastikan keperluan perubatan dan kesihatan mangsa kebakaran saluran paip gas Putra Heights di sini, dalam keadaan terbaik.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sepanjang tempoh mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, mereka akan menerima penjagaan kesihatan yang optimum.

“Saya dapati penjagaan kesihatan ini tidak tergendala dan kita juga menggunakan MySejahtera yang memberikan maklumat segera membabitkan ubat yang diperlukan oleh mangsa yang terlibat.
“Selain itu, pasukan Mental Health and Psychosocial Support Service (MHPSS) juga ada di PPS ini bagi memberi sokongan emosi dan kestabilan terhadap mental mangsa yang terkesan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat PPS Masjid Putra Heights hari ini.
Menurut beliau, seramai 22 petugas dari klinik kesihatan daerah, MHPSS dan pejabat kesihatan daerah ditugaskan di PPS tersebut.
“Pihak kementerian juga menerima sokongan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM),” jelasnya.
Tambah beliau, setakat tengah hari tadi, PPS Masjid Putra Heights masih menempatkan 379 mangsa daripada 97 keluarga yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








