Dr Dzulkefly serah surat lantikan tetap kepada dua doktor muda di Sabah
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyerahkan sendiri surat lantikan tetap kepada dua doktor muda di Sabah, semalam.
Surat lantikan di bawah e-Placement Fasa 1 itu disampaikan kepada Dr. Zulika Farina Zainon dan Dr. Muhammad Izrin Syukri Mohd Nasri ketika lawatan beliau ke Sandakan dan Kinabatangan.
Dr. Zulika Farina, anak jati Sandakan dan graduan Universiti Malaysia Sabah, kini berkhidmat di Klinik Desa Karamunting.
Beliau mewarisi legasi bakti keluarganya apabila ibunya baru sahaja bersara sebagai Pakar Perubatan Keluarga di daerah sama.
Sementara itu, Dr. Muhammad Izrin, anak jati Puchong dan graduan National University of Ireland, berkhidmat di Hospital Kinabatangan, sebuah hospital daerah yang menjadi nadi perkhidmatan kesihatan di pedalaman Sabah.
“Mereka adalah sebahagian daripada 307 pegawai perubatan tetap yang ditempatkan di seluruh Sabah menerusi e-Placement Fasa 1 bagi mengatasi isu agihan tidak seimbang pegawai perubatan di negeri ini.
“Kehadiran mereka bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan tetapi memperkukuh barisan hadapan sistem kesihatan, memastikan rakyat di pedalaman tidak perlu menempuh perjalanan berjam-jam untuk mendapatkan rawatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada kedua-dua pegawai perubatan itu serta berharap iltizam mereka menjadi inspirasi kepada generasi doktor akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








