Pengunduran Dr Akmal Saleh belum terlintas dalam fikiran parti – Ahmad Zahid
PUCHONG – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pengunduran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh adalah sesuatu yang belum terlintas dalam ‘fikiran parti’ sambil menekankan bahawa perselisihan pandangan dan kritikan adalah sebahagian lumrah perjuangan politik.
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Muhamad Akmal Saleh yang dilaporkan memberi bayangan berkemungkinan meletak jawatan melalui satu hantaran di laman Facebooknya sebelum ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya sendiri pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO, ini lumrahnya iaitu ada idealisme yang berlainan.
“Namun jika berlaku perbezaan pandangan dan menerima komen, kita harus terima itu sebagai meraikan perbezaan pendapat atau Adab al-Ikhtilaf,” jelas Ahmad Zahid.
Beliau menambah, jika selama ini kita memberi komen dan kritikan terhadap orang lain, apabila dikritik pula, kita harus menerima dengan terbuka, dan tidak wajar melabelkan pihak tertentu sebagai tidak demokratik atau tidak bersedia menerima kritikan.
“Jangan pula labelkan orang itu tidak demokratik atau tidak menerima hakikat, tidak wajar ambil jalan singkat, ini perjuangan politik,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa idealisme Pemuda UMNO perlu diteruskan walaupun cadangan atau saranan tidak diterima sepenuhnya.
Mengambil contoh perjalanan politik beliau sendiri, Ahmad Zahid berkata:
“Dalam politik, tidak semua orang bersetuju dengan kita. Tangani ketidaksetujuan dengan penjelasan, bukan tindakan yang tidak sepatutnya. Saya sendiri pernah terlanggar gunung, terpijak kulit pisang dan tersungkur, tetapi itu tidak menyebabkan saya terjatuh selama-lamanya.” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







