
Pengasas RHB dilantik Presiden ke-10 UIA
KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2028.
Pelantikan beliau mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun 2025.
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelantikan Tan Sri Abdul Rashid dibuat berdasarkan ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara, khususnya dalam bidang kewangan Islam.
“Beliau merupakan pengasas Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji sejak tahun 2023.
“Selain itu, beliau bukan asing dalam bidang pendidikan tinggi apabila pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM sejak tahun 2018 dan kini juga merupakan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sejak 2024,” menurut kenyataan KPT hari ini.
KPT turut yakin pelantikan Tan Sri Abdul Rashid akan memperkukuh peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu berteraskan nilai Islam serta meningkatkan daya saing institusi itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, KPT merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan Presiden UIAM sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








