Tentera Guinea-Bissau gulingkan presiden, tutup semua institusi kerajaan
DAKAR – Negara Guinea-Bissau dilanda krisis politik selepas pihak tentera mengumumkan rampasan kuasa, menyingkirkan Presiden Umaro Sissoco Embalo dan menutup semua institusi kerajaan buat sementara waktu.
Dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook stesen televisyen negara, TGB, sekumpulan pegawai tentera berkata rampasan kuasa itu perlu selepas komando tinggi tentera mendakwa wujud rancangan untuk memanipulasi keputusan pilihan raya dan menggugat kestabilan negara.
Beberapa ahli politik serta seorang ketua sindiket dadah juga didakwa terbabit dalam rancangan tersebut.
Jurucakap tentera, Jeneral Denis N’Canha berkata, tindakan itu diambil bagi memulihkan keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Tentera turut menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam,” katanya lagi.
Sebelum itu Presiden Embalo, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Staf Angkatan Tentera dilaporkan ditahan di Istana Presiden.
Embalo berkata, tiada kekerasan digunakan terhadap mereka.
Beberapa das tembakan turut kedengaran di ibu negara, Bissau.
Rampasan kuasa berlaku hanya beberapa hari selepas pilihan raya presiden dan parlimen yang tertangguh sekian lama diadakan.
Embalo dan pencabarnya, Fernando Dias, masing-masing mengisytiharkan kemenangan.
Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada Khamis.
Embalo, 53 tahun, bekas jeneral yang memerintah sejak 2020, sebelum itu membubarkan parlimen pada penghujung 2023 dan tempoh pemerintahannya telah tamat beberapa bulan lalu.
Parti pembangkang utama tidak dibenarkan bertanding dan menyokong calon bebas, Dias.
Guinea-Bissau dengan populasi kira-kira 2.2 juta orang, merupakan antara negara termiskin dunia dan sering menghadapi krisis politik.
Sejak merdeka pada 1974, negara itu telah beberapa kali mengalami rampasan kuasa dan cubaan rampasan kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








