Penduduk harap titi gantung diganti jambatan besi
KUALA KRAI – Penduduk Lata Rek mengharapkan titi gantung yang runtuh di Sungai Chatel Damai, di sini digantikan dengan jambatan besi bagi memastikan keselamatan dan kemudahan laluan harian mereka, selepas arahan penggantian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Titi gantung yang menghubungkan laluan utama dengan lima buah rumah itu runtuh ketika dilalui oleh kira-kira 50 orang ahli rombongan perkahwinan, kelmarin.
Kejadian melibatkan warga emas dan kanak-kanak itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki, beberapa kanak-kanak cedera di kepala serta tiga individu lain mengalami luka ringan dan sesak nafas.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, penggunaan titi gantung tidak lagi sesuai malah berisiko kepada pengguna motosikal yang turut menggunakan titi gantung berkenaan.
“Sekarang ini penduduk terpaksa meredah air sedalam 0.4 hingga 0.6 meter untuk menyeberangi sungai,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau menambah, pihaknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Fauzi Abdullah akan ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai bagi membincangkan langkah penggantian secara lebih terperinci.
Katanya, penduduk kampung turut meluahkan rasa terharu dan terima kasih di atas keprihatinan dan tindakan pantas kepimpinan atasan.
“Terima kasih Perdana Menteri, Menteri Besar dan semua pihak yang cakna terhadap masalah ini,” kata Mohd Zaki.
Perdana Menteri semalam mengumumkan peruntukan untuk penggantian semula titi kayu berkenaan demi keselamatan dan keselesaan semua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








