Sindiket lombong pasir haram tumpas di Kuala Krai
KUALA KRAI — Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu berjaya menumpaskan kegiatan sedut pasir haram di kawasan sungai Kampung Pahi di sini, petang kelmarin.
Serbuan dibuat melalui operasi bersepadu yang dikenali sebagai Op Taring Wawasan oleh Batalion 8 PGA pada pukul 4.15 petang.
Serbuan membawa kepada rampasan lori, rumah penyedut pasir dan beberapa jentera lain yang digunakan dalam aktiviti perlombongan haram, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2 juta.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, enam lelaki termasuk tiga warga asing ditahan dalam operasi hasil risikan dan pemantauan pihak berkuasa itu.
“Semua individu yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemindahan atau perlombongan pasir di kawasan terbabit.
“Antara peralatan yang dirampas termasuk jentera pengorek, lori, rumah penyedut pasir serta pelbagai lagi kelengkapan yang digunakan dalam kegiatan ini,” jelasnya dalam kenyataan media.
Kes disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965 dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Pihak kami tidak akan berdiam diri dalam isu melibatkan penerokaan sumber alam secara haram. Operasi seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras secara menyeluruh,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








