BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pencemaran udara: JAS hentikan operasi premis industri di Kulai

JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) menghentikan operasi sebuah premis industri di Kulai selepas menerima aduan pencemaran udara berulang yang menjejaskan kualiti alam sekitar dan kesihatan awam.

Dalam satu kenyataan, JAS memaklumkan, pasukan penguat kuasa Unit Penguatkuasaan Industri (JB Barat) menjalankan siasatan berhubung aduan yang diterima melalui e-Aduan JAS.

Pasukan penguat kuasa kemudian mengambil Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap premis yang menjalankan proses penyemburan pasir dan salutan serbuk.

Tindakan POK tersebut diambil mengikut Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di mana premis diarahkan memberhentikan semua proses pengeluaran sehingga memperoleh lesen beroperasi daripada pihak berkuasa tempatan.

“Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya serta memastikan sebarang pencemaran tidak berlaku yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” kata JAS dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, JAS menegaskan, setelah lesen diperoleh, premis berkenaan perlu mematuhi semua garis panduan bagi pemasangan alat kawalan pencemaran udara mengikut kehendak perundangan.

Tegas JAS lagi, premis tersebut juga harus memastikan kehadiran orang yang berwibawa bagi menyelia alat kawalan pencemaran dan pengurusan buangan terjadual.

“Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel ke aduan_k@doe.gov.my atau portal aduan https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button