JENAYAH & MAHKAMAH

Pemotong rumput mengaku salah sumbang mahram dengan adik kandung

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemotong rumput mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya di sebuah rumah di Machang, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya yang berusia 25 tahun, sedangkan hubungan kekeluargaan itu adalah dilarang untuk berkahwin menurut undang-undang dan hukum agama.

Perbuatan berkenaan didakwa berlaku di dalam bilik tidur sebuah rumah di Machang, sekitar pukul 10.30 pagi pada 17 Disember lalu, memetik laporan Buletin TV3.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun, selain hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan memandangkan pertuduhan itu merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.

Mahkamah seterusnya menolak permohonan jaminan kerana dikhuatiri ia boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan mangsa yang juga adik kandung tertuduh.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan bagi sebutan fakta kes dan jatuh hukum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button