
Pemilihan PKR 2025 penuhi prinsip blockchain, dakwaan Faizal tidak berasas – Safwan
KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 telah memenuhi prinsip utama teknologi blockchain iaitu kebolehjejak (traceability) dan ketelusan (transparency), seperti yang turut diperakui menerusi laporan audit rasmi.
Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri Perak, Safwan Mohamad yang tampil menyangkal dakwaan dibuat Faizal Rahman berhubung kelewatan pengumuman keputusan pemilihan serta ketelusan sistem pengundian parti.
Menurut Safwan, kelewatan dua jam sebelum keputusan diumumkan adalah sebahagian daripada langkah kawalan yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk memberi ruang kepada proses semakan dan audit menyeluruh.
“Tempoh dua jam itu bukan kelemahan sistem, sebaliknya satu amalan yang bertanggungjawab untuk memastikan keputusan bebas daripada ralat teknikal.
“Audit dilakukan terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada umum,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, sistem pemilihan tersebut mempunyai log sistem yang membolehkan semua data dijejak semula dan akses terhadapnya hanya dibenarkan kepada pihak berautoriti seperti auditor bebas.
“Audit mengesahkan tiada data yang diubah atau dimanipulasi selepas dimasukkan ke dalam blockchain. Keputusan juga tidak berubah,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan bahawa vendor sistem bersedia mengeluarkan keputusan serta-merta tetapi dihalang oleh JPP, Safwan berkata, vendor hanya bertindak mengikut terma rujukan (TOR) dan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Vendor tidak boleh bertindak sesuka hati. Mereka hanya ikut SOP dan keputusan yang telah diluluskan oleh kepimpinan parti,” katanya lagi.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa undi dimasukkan ke storan S3 sebelum blockchain, dan menjelaskan bahawa laporan audit menyebut dengan jelas bahawa S3 hanya digunakan sebagai storan sokongan untuk tujuan audit dan bukannya laluan utama data undi.
“Undi terus dimasukkan ke dalam sistem blockchain. S3 hanya digunakan sebagai backup. Ini fakta yang telah diperincikan dalam carta aliran audit,” katanya lagi.
Safwan turut menyelar pihak yang mempertikaikan kelengkapan laporan audit, sambil menyatakan bahawa mereka sepatutnya merujuk kepada pihak auditor untuk mendapatkan penjelasan lanjut, bukannya membuat andaian tidak berasas.
“Jika benar mereka keliru atau tidak faham, mereka sepatutnya hubungi auditor, bukan keluarkan ulasan yang separuh masak,” katanya lagi.
Safwan turut menyeru semua ahli parti agar kembali fokus kepada usaha memperkukuh perjuangan parti, bukan menimbulkan kekeliruan yang boleh menggugat keyakinan ahli terhadap proses demokrasi dalaman.
“Kami tidak mahu bermusuh, lebih-lebih lagi dengan ahli sendiri. Penjelasan ini demi membina semula kepercayaan dan kekuatan parti,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








