Pelaksanaan segera, berintegriti jadi keutamaan 34 projek RM1.66 bilion di Bentong
BENTONG – Kerajaan Persekutuan meluluskan 34 projek pembangunan bernilai RM1.66 bilion khusus untuk daerah Bentong di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai sebahagian daripada 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion yang diluluskan di Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan projek semata-mata tidak membawa makna sekiranya pelaksanaannya gagal menyentuh realiti kehidupan rakyat, justeru aspek pelaksanaan segera dan berintegriti menjadi keutamaan kerajaan pada tahun ini.
Menurut beliau, sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana setiap kelewatan bermakna rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya dinikmati.
“Angka yang besar tidak bermakna jika pelaksanaan gagal. Kita mahu setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat pembangunan daerah Bentong bersama Menteri Besar Pahang serta pimpinan Kerajaan Negeri dan daerah, sempena lawatan kerjanya ke Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan terdapat kira-kira 106 keluarga miskin tegar di Bentong dan mengarahkan supaya bantuan disegerakan bagi memastikan semua keluarga terlibat dapat dikeluarkan daripada kategori miskin tegar dalam tempoh satu bulan.
“Saya mahu tindakan pantas diambil dan bantuan mesti sampai kepada mereka yang memerlukan, bukan sekadar di atas kertas,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan akan menambah bilik darjah serta meningkatkan keselesaan bilik guru sebagai persediaan kepada pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, termasuk pelaksanaan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun 1 pada usia enam tahun secara sukarela.
“Kegagalan di peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan, akan menjejaskan keselesaan pembelajaran serta masa depan anak-anak,” katanya lagi.
Sementara itu, Anwar menegaskan soal integriti tidak boleh dikompromi dan setiap peruntukan yang disalurkan adalah amanah yang mesti sampai kepada rakyat.
“Setiap sen yang diperuntukkan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat.
“Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, sebaliknya ikhtiar mempercepat pelaksanaan supaya manfaatnya dapat dirasai segera,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








