BERITA SEMASA

Peguam Negara baharu sedia pikul amanah

PUTRAJAYA – Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bersedia memikul amanah sebagai Peguam Negara yang baharu.

“Insya-ALLAH saya akan tunaikan amanah ini sebaik mungkin,” katanya selepas melakukan daftar masuk kehadiran menerusi sistem dalam talian pada jam 8.15 pagi di sini, hari ini.

Kehadiran beliau disambut oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Almalena Sharmila Johan serta ketua-ketua bahagian Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam pada itu, Ahmad Terrirudin turut  menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memperkenankan lantikannya.

Pelantikan Ahmad Terrirudin bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun, sekali gus mengembalikan kedudukan lantikan jawatan itu dalam kalangan pegawai jabatan tersebut.

Untuk rekod, tiga penyandang terdiri daripada orang luar bermula Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tan Sri Tommy Thomas dan Tan Sri Idrus Harun yang masing-masing adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam.

Kali terakhir Peguam Negara dalam kalangan pegawai kanan agensi itu adalah Tan Sri Abdul Gani Patail yang memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button