BERITA SEMASA

Op Lancar fokus kelancaran trafik sempena Aidiladha – Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Lancar bermula hari ini hingga 9 Jun dengan tumpuan khusus kepada kelancaran aliran trafik sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, seramai 1,858 pegawai dan anggota ditugaskan ke lokasi-lokasi hotspot seluruh negara bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.

“Penugasan ini akan tertumpu di kawasan-kawasan hotspot yang dijangka mengalami kesesakan lalu lintas berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, seluruh kekuatan JSPT akan digerakkan secara holistik dan bersistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik melibatkan lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan-jalan bandaran.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap maklumat trafik terkini yang boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi JSPT serta pihak konsesi lebuh raya.

“Maklumat ini penting untuk membantu pengguna merancang perjalanan pulang ke kampung dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Tambah beliau, semua pengguna jalan raya juga diseru agar mengamalkan sikap berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama.

“Elakkan memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button