BERITA SEMASA

Dua juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidiladha – PLUS

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih dua juta kenderaan sehari akan berada di rangkaian lebuh rayanya pada hari-hari puncak sempena cuti perayaan Aidiladha pada 5 hingga 6 Jun serta 8 dan 9 Jun ini.

Menurut kenyataan PLUS hari ini, syarikat itu menggesa orang ramai merancang perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan Jadual Perjalanan Digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS.

“Pengguna lebuh raya disaran menyusun jadual perjalanan mereka lebih awal khususnya bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang antara 5 hingga 7 Jun serta perjalanan pulang ke Lembah Klang dari 8 hingga 10 Jun,” jelas kenyataan itu.

Inisiatif MyPLUS-TTA merupakan sebahagian daripada usaha PLUS untuk melancarkan pergerakan trafik berdasarkan data dan pola perjalanan musim perayaan terdahulu. Aplikasi tersebut turut merangkumi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) antara 5 hingga 10 Jun.

Selain itu, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 30 lokasi tumpuan untuk melancarkan aliran trafik.

Laluan khas ini hanya dibuka kepada kenderaan ringan persendirian dan penumpang dengan had laju disarankan sekitar 60 kilometer sejam (km/j). Lokasi laluan tersebut boleh dikenal pasti menerusi Lampu Hijau Berkelip dan papan tanda khas.

PLUS turut menasihatkan pengguna agar tidak menggunakan lorong kecemasan di kawasan yang tidak menyediakan laluan Smart Lane bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Sepanjang tempoh 5 hingga 9 Jun, tiada kerja penyelenggaraan akan dijalankan kecuali bagi kes kecemasan, kemalangan atau pembaikan kritikal.

Dalam usaha memastikan keselesaan pengguna, PLUS juga menyediakan kemudahan tambahan di beberapa plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) terpilih termasuk pemasangan 26 unit tandas kabin sebagai pelengkap kepada kemudahan sedia ada.

PLUS turut memohon kerjasama pengguna untuk merancang perjalanan sebaiknya dan memanfaatkan kemudahan awam seperti tandas dan surau di kawasan R&R dan plaza tol.

Maklumat trafik dan perancangan perjalanan boleh diperoleh menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik, serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi tertentu. Untuk bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 atau LPT2Line di 1800-88-0220.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button