BERITA SEMASA

Menteri Pengangkutan mahu orang ramai tularkan kesalahan trafik

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menggesa orang ramai untuk menularkan kesalahan trafik dilakukan pemandu lori dan bas ekspres, khususnya yang melibatkan pemanduan berbahaya di jalan raya.

Beliau berkata, tindakan itu bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Saya galakkan orang ramai rakam dan viralkan kesalahan trafik yang membahayakan nyawa.

“Rakaman video lengkap dengan nombor pendaftaran dan lokasi sangat membantu JPJ untuk mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anthony turut mendedahkan senarai 28 syarikat pengendali lori dan bas ekspres yang mempunyai jumlah saman tertunggak tertinggi.

Anthony berkata, pendedahan tersebut bertujuan memberi amaran kepada syarikat pengendali agar lebih serius menitikberatkan aspek keselamatan serta mematuhi undang-undang jalan raya.

“Syarikat berkenaan diberi tempoh 14 hari untuk menyelesaikan semua saman. Jika gagal, lesen operasi dan kenderaan mereka boleh digantung,” katanya lagi.

Antara kesalahan trafik yang direkodkan termasuk memandu melebihi had laju, memotong secara berbahaya, menyalahgunakan lorong kanan serta memandu tanpa lesen atau perlindungan insurans.

Katanya, kementerian juga akan menjalankan audit menyeluruh melibatkan latihan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan bagi memastikan pengusaha pengangkutan mematuhi standard yang ditetapkan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha tegas kerajaan bagi mengekang kecuaian pemandu kenderaan berat yang boleh mengakibatkan nahas dan kehilangan nyawa di jalan raya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button