Banjir luar biasa tenggelamkan Lebuhraya PLUS dekat Nilai, ratusan kenderaan terkandas
KUALA LUMPUR – Ratusan pengguna jalan raya terpaksa menangguhkan perjalanan dan berbuka puasa di dalam kenderaan selepas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai dilanda banjir luar biasa, petang semalam.
Hujan lebat yang turun sejak pukul 6 petang menyebabkan laluan empat lorong menghala ke selatan dinaiki air sehingga menenggelamkan keseluruhan jalan.
Keadaan itu mengakibatkan banyak kenderaan, khususnya motosikal dan kereta tidak mampu meredah banjir yang meliputi laluan sepanjang hampir 100 meter berkenaan.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang meluahkan rasa terkejut kerana kejadian banjir di lebuh raya itu jarang berlaku sebelum ini.
Banjir sama turut menjejaskan laluan bertentangan arah ke utara, namun laluan tersebut masih boleh dilalui oleh kenderaan berat.
Sehingga pukul 7.13 malam, air dilaporkan masih menenggelami laluan berkenaan dan menyebabkan kesesakan trafik di kedua-dua arah.
Sementara itu, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), banjir tersebut merupakan satu perkara di luar jangka.
“Terdapat banjir kilat di KM287 di kedua-dua arah Putra Mahkota ke Bandar Baru Nilai.
“Semua lorong arah selatan terhalang. Lorong kecemasan dan lorong kiri arah utara terhalang. Hentian Nilai arah utara juga ditutup,” kata LLM menerusi hantaran di Facebook semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








