BERITA SEMASA

Nik Abduh angkat sumpah senator penggal kedua

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, di Dewan Negara, Bangunan Parlimen, hari ini.

Nik Mohamad Abduh dipilih semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di bawah Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 7 Julai 2026 hingga 6 Julai 2029.

Anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu sebelum ini dilantik sebagai Senator mewakili Kelantan bagi penggal pertama dari 8 Julai 2023 hingga 7 Julai 2026.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok.

Dalam ucapan permahsyurannya, Awang Bemee berkata pemilihan semula Nik Mohamad Abduh mencerminkan keyakinan dan kepercayaan berterusan terhadap kewibawaan, pengalaman serta keupayaannya untuk terus menyumbang kepada persidangan dan perjalanan institusi Parlimen.

Menurutnya, sumpah jawatan yang dilafazkan seorang Senator membawa amanah besar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung kepentingan rakyat serta memastikan suara setiap negeri terus diberi tempat sewajarnya dalam proses pembentukan dasar dan undang-undang negara.

“Sumpah yang dilafaz membawa satu amanah yang besar. Amanah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung kepentingan rakyat dan memastikan suara rakyat setiap negeri terus diberi tempat yang sewajarnya dalam proses pembentukan dasar dan undang-undang negara,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata, pengalaman Nik Mohamad Abduh sepanjang penggal pertama di Dewan Negara diharap dapat terus dimanfaatkan bagi memperkukuh peranan institusi itu, membawa suara Kelantan, meneliti dasar dan perundangan negara serta memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Awang Bemee menegaskan komitmen Parlimen Malaysia untuk terus memperkukuh institusi legislatif negara termasuk melalui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Katanya, langkah itu penting bagi memperteguh prinsip pengasingan kuasa, meningkatkan keberkesanan fungsi semak dan imbang serta memperkukuh autonomi dan kedudukan Parlimen.

“Sesungguhnya Parlimen yang kukuh akan memperkukuhkan demokrasi dan demokrasi yang kukuh akan membawa kepada pemerintahan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Mengikut takwim Parlimen, persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadual berlangsung selama 14 hari bermula 30 November ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button