Najib tidak perlu angioplasti, pemasangan stent selepas angiogram
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak perlu menjalani prosedur angioplasti belon atau pemasangan stent selepas keputusan angiogram koronari yang dijalankan hari ini mendapati keadaan salur darahnya masih boleh dikawal tanpa memerlukan intervensi tersebut.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, hasil angiogram koronari dan penilaian perubatan menyeluruh oleh pasukan pakar mendapati penyumbatan pada salur darah koronari boleh dirawat secara berkesan menerusi ubat-ubatan, pemantauan rapi serta rawatan susulan.
Menurut beliau, beberapa siri penilaian perubatan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu telah mengesan penyumbatan pada salur darah koronari, sekali gus memerlukan Najib menjalani angiogram bagi mendapatkan penilaian lanjut.
“Pada peringkat awal, pasukan doktor menganggarkan terdapat kebarangkalian sekitar 95 peratus bahawa Datuk Seri Najib memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon dan pemasangan stent.
“Bagaimanapun, keputusan angiogram menunjukkan penyumbatan tersebut masih boleh dikawal tanpa perlu menjalani kedua-dua prosedur berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Najib dijadualkan menjalani angiogram di Hospital Serdang bagi memeriksa keadaan salur darah koronari dan mengesan tahap penyumbatan yang dialaminya.
Muhammad Shafee berkata, keputusan untuk menjalankan angiogram dibuat sepenuhnya berdasarkan keperluan perubatan dan penemuan klinikal ketika itu, memandangkan kebarangkalian tinggi bahawa rawatan intervensi mungkin diperlukan.
Beliau turut memaklumkan Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pemantauan rapi pasukan doktor yang merawat.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Datuk Seri Najib berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan pemulihan di bawah pengawasan perubatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















