BERITA SEMASA

Muktamad, mahkamah Perancis tolak tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Perancis mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata,
keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang dan sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan Kumpulan Sulu.

Katanya, melalui keputusan mahkamah itu juga ini bermakna pihak yang menuntut itu tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022 atas apa-apa tujuan.

Malah beliau berkata, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

“Ia adalah keputusan yang muktamad dan utama, kemenangan untuk Malaysia menegakkan undang-undang, yang menyebabkan kekalahan kepada pihak penuntut dan pembiaya mereka.

“Salah satu strategi kasar yang dilakukan penuntut menerusi ‘Partial Award’ itu adalah menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian kedutaan).

“Malaysia juga memerangi tindakan itu melalui dasar kekebalan diplomatik, justeru pihak penuntut ketika ini harus menarik balik tindakan, susulan keputusan hari ini, yang mana ‘Partial Award’ di Perancis itu tidak berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan, keputusan Mahkamah Rayuan Paris sekali gus akan membatalkan ‘Final Award’ berjumlah hampir AS$15 bilion (RM69 bilion) yang diputuskan oleh Stampa untuk diberikan kepada pihak penuntut.

“Malaysia ketika ini sedang berusaha supaya pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang boleh mengakibatkan usaha penguatkuasaan oleh pihak penuntut.

“Stampa memberikan ‘Final Award’ meskipun pelantikannya sudah dibatalkan oleh Mahkamah Sepanyol yang sebelum ini melantiknya, atas dasar Malaysia tidak dirujuk terlebih dulu dalam pelantikannya.

“Berbanding menuruti arahan mahkamah Sepanyol untuk berhenti bertindak sebagai penimbang tara, Stampa memindahkan langkah timbang tara itu ke Perancis dan seterusnya mengeluarkan ‘Final Award’.

“Beliau melanggar perintah mahkamah Sepanyol dan mengakibatkan penyalahgunaan ketara terhadap proses timbang tara antarabangsa,” katanya.

Azalina berkata, Malaysia juga percaya, keputusan Mahkamah Rayuan Perancis itu akan menamatkan usaha pihak menuntut dan pembiaya mereka, Therium, yang mahu menguatkuasa penganugerahan keputusan yang menyalahi undang-undang dan hasrat mendapat pampasan yang besar daripada Malaysia.

Katanya, kerajaan Malaysia juga akan terus mengambil semua tindakan yang perlu termasuk berkaitan undang-undang untuk menamatkan tuntutan itu dan memastikan kepentingan Malaysia, imuniti kedaulatan dan kedaulatan negara dilindungi sepanjang masa.

Sementara itu beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas sokongan yang berterusan dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi dalam usaha mempertahankan kedaulatan Malaysia.

“Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Peguam Negara, Kerajaan Sabah, Jabatan Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Perancis, kementerian serta agensi dan semua pihak lain yang terbabit,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris dilaporkan menolak tuntutan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti dimohon Malaysia bagi mengetepikan perkara itu.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button