BERITA SEMASA

MP Raub cadang UEC diiktiraf sebagai kelayakan prauniversiti setaraf antarabangsa

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diiktiraf sebagai kelayakan prauniversiti setaraf dengan kelayakan antarabangsa seperti International Baccalaureate (IB), A-Level dan Australian Matriculation dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai penyelesaian dasar terhadap kekeliruan kemasukan pelajar sekolah bukan kerajaan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata, pengiktirafan UEC dalam bentuk prauniversiti akan membolehkan satu kerangka kemasukan yang lebih jelas, konsisten dan adil diwujudkan tanpa menimbulkan kekaburan dasar yang berterusan.

Menurutnya, isu utama bukan terletak pada keupayaan akademik pelajar UEC, sebaliknya berpunca daripada ketidakselarasan dan kekaburan dasar kemasukan universiti sedia ada.

“Hari ini, banyak IPTA mampu menerima pelajar antarabangsa dari China yang tidak pernah menduduki peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.

“Namun, pelajar warganegara Malaysia yang mengikuti kurikulum UEC dan pada masa sama menduduki SPM bagi Bahasa Melayu dan Sejarah masih berdepan kesukaran untuk diterima masuk ke universiti awam melalui laluan pengambilan langsung,” katanya ketika membahaskan titah diraja.

Beliau menegaskan bahawa dari sudut logik dasar, situasi tersebut sukar dipertahankan kerana wujud ketidakseimbangan layanan antara pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa.

Sehubungan itu, Chow menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperjelaskan kedudukan pemegang UEC dalam kerangka syarat kemasukan IPTA, khususnya selepas cadangan membenarkan pelajar sekolah bukan kerajaan hanya menduduki kertas Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.

BACA: https://malaysiatribune.news/berita-semasa/bm-sejarah-uec-ipta-zambry/

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan meminda dasar bagi membolehkan pelajar sekolah bukan kerajaan menduduki dua subjek tersebut dalam SPM.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, semua pelajar sekolah bukan kerajaan termasuk sekolah persendirian Cina, sekolah antarabangsa dan sekolah agama yang memperoleh kredit Bahasa Melayu serta lulus Sejarah akan layak memohon kemasukan ke IPTA.

Bagaimanapun, Chow berpandangan bahawa langkah itu sahaja tidak mencukupi tanpa satu reformasi struktur terhadap kerangka kemasukan universiti.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan reformasi lebih besar terhadap keseluruhan sistem prauniversiti negara dengan menyatukan sistem STPM dan matrikulasi di bawah satu sistem peperiksaan baharu yang dikenali sebagai New STPM.

“Sistem ini perlu mempunyai standard akademik yang sama, struktur penilaian yang telus dan tahap kesukaran yang setara untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang sekolah.

“Namun kita boleh melaksanakan ‘markah bonus sosioekonomi’ kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan penggandaan markah merit sebanyak 1.05 kali,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button