Syarat BM, Sejarah untuk pemegang UEC masuk IPTA belum dimuktamadkan
PUTRAJAYA – Isu kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke universiti awam (IPTA) masih belum dimuktamadkan, termasuk cadangan mewajibkan pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan mengambil mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah sebagai prasyarat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, perkara itu masih belum menjadi keputusan dasar muktamad kerajaan.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bukan hanya tertumpu kepada UEC, sebaliknya melibatkan keseluruhan sistem pendidikan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah Arab, sekolah agama serta aliran pendidikan lain.
“Yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah langkah awal bagi memastikan semua sistem pendidikan ini memenuhi prasyarat penting, iaitu pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia berdasarkan kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar mengumumkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi langkah itu, beliau menegaskan, kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, selepas syarat berkenaan dipenuhi, proses penyelarasan akan dilakukan antara KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum sebarang keputusan lanjut mengenai pengambilan pelajar ke IPTA dibuat.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada pemegang UEC atau pelajar daripada sistem pendidikan lain boleh diterima masuk ke universiti awam kerana perkara itu masih di peringkat dasar dan memerlukan penelitian lanjut.
“Ini bukan isu satu kaum atau satu sistem pendidikan sahaja. Kerajaan mahu mencari penyelesaian secara menyeluruh dan adil kepada semua sistem pendidikan yang wujud dalam negara,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan komprehensif itu penting bagi memastikan setiap aliran pendidikan diberi pertimbangan yang saksama, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








